The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan ACL Two Group G MD4 | Selangor FC 2-3 Persib

Nov 07, 2025 - FAS

Peluang Selangor FC untuk mara ke pusingan seterusnya terkubur selepas terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 ke atas Persib dalam perlawanan keempat Kumpulan G ACLTWO 2025/26 di Stadium MBPJ semalam. 

Perlawanan bermula dengan intensiti tinggi di antara kedua-dua pasukan, namun skuad Gergasi Merah terlebih dahulu berada di hadapan hasil jaringan Chrigor pada minit ke-3 dan gol sendiri oleh Patricio Matricardi pada minit ke-17. Selangor FC beraksi dengan penuh cemerlang dan menguasai tempo permainan di separuh masa pertama, namun Persib bangkit pada separuh masa kedua dengan tiga jaringan, satu daripada Andrew Jung pada minit ke-49 dan dua gol oleh Adam Alis pada minit ke-81 dan 90+1.

Dengan kemenangan ini, Persib kekal di tangga teratas Kumpulan G, manakala Selangor FC terpaksa menamatkan saingan kali ini tanpa peluang untuk mara ke pusingan seterusnya. Walau bagaimanapun, komitmen dan usaha para pemain Merah Kuning jelas menunjukkan keazaman pasukan untuk terus bangkit dalam perlawanan yang akan datang. 

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, meluahkan rasa kecewa selepas tersingkir dan memohon maaf kepada para penyokong atas kekalahan ini.

“Saya melihat beberapa perkara positif dalam perlawanan semalam. Kita memulakan aksi dengan baik, namun gagal mengekalkan kelebihan tersebut. Saya akui kita perlu memperkukuh kekuatan pasukan pada masa akan datang, tetapi para pemain telah memberikan yang terbaik, terutamanya di separuh masa pertama. Sudah semestinya kita berasa kecewa kerana tersingkir daripada saingan ini, dan keputusan ini amat sukar untuk diterima. Oleh itu, saya ingin memohon maaf kepada para penyokong kerana perjuangan kita di ACLTWO berakhir di sini. Pasukan akan belajar daripada perlawanan ini dan terus berusaha untuk mencapai konsistensi serta kekuatan yang lebih baik pada masa akan datang,” jelas Gamel.

Seterusnya, skuad Gergasi Merah akan terbang ke Negeri di Bawah Bayu bagi meneruskan perjuangan dalam saingan Piala FA 2025 bagi perlawanan pertama Separuh Akhir menentang Sabah FC di Stadium Likas pada jam 8:15 malam. 

Pihak pengurusan Selangor FC ingin berterima kasih kepada 5,505 penyokong yang telah hadir ke perlawanan ACLTWO #SFCPSB semalam. Sokongan anda amat kami hargai.

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama: Sikh Izhan (GK), Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi, Kevin Deeromram, Nooa Laine, Alvin Fortes, Picha Autra, Zach Clough, Omid Musawi, Mamadou Diarra, Chrigor Moraes

Pertukaran: 46’ Noor Al Rawabdeh > Picha Autra, 46’ Izwan Yuslan > Omid Musawi, 70’ Willian Lira > Chrigor Moraes, 90’ Richmond Ankrah > Mohammad Abualnadi, 90’ Danish Iskandar > Zach Clough